Jalan-jalan di Bangalore dan Perjalanan ke Davangere

NAZ_9551

Majlis Graduasi adik ipar saya, Habibah Hanum telah membawa saya dan suami ke Davangere, Bangalore.

Saya selalu mendengar cerita daripada Adik Hanum, dia perlu menaiki kereta sewa selama 6 jam untuk sampai dari Lapangan Terbang Bangalore ke Davangere. Jauhnya perjalanan dari lapangan terbang ke tempat pengajian! Setiap kali mendarat di Bandar Bengaluru, perlu tidur semalaman terlebih dulu sebelum meneruskan perjalanan ke kolej.

Bagi suami saya yang juga seorang jurufoto, India umpama pesta budaya. Manusia, kehidupan seharian dan jalanan, semuanya adalah saripati untuk disalin dan dilukis kembali oleh alat perakam cahaya.

Bagi saya yang puitis. Ia adalah sebuah negara yang dipenuhi manusia yang penuh mimpi dan impian. Di sebalik wajah yang kasar, baju yang kotor dan jalan berdebu, ia menyimpan berjuta impian penghuninya.

Selepas majlis graduasi, kami akan meneruskan perjalanan ke Agra dengan menaiki kereta api sejauh 2000 km. Fikiran saya terus membayangkan kereta api yang sumbat penumpang!

Saya membuat persiapan mental dengan menonton filem-filem Hindustan yang mempunyai latar berkisarkan kereta api seperti Jab We Met dan Chennai Express. Orang kata, practice make perfect. Imaginasi kembara itu memangnya nombor 1.

Memahami Budaya Setempat

“Walaikum assalam, dearest sister! Masha’Allah, happy to hear about your trip to India. The train experience will be tiring but interesting. We try to get the air-conditioned seats so that I can draw the curtains and let down my hijab for a while. The trip is too long! Try to make new friends while you are traveling

India can be overwhelming at times – too much noise, pollution, crowd, etc. But try to immerse yourself in the colors, culture and food” ~ Nadia Masood

Itu pesanan Nadia Masood, seorang travel blogger yang berasal dari Karachi dan kini menetap di UAE.

Saya akui, bukan mudah hendak memahami budaya dan perangai manusia di negara orang. Kita mudah membuat penilaian dan perbandingan dengan tanah air sendiri. Tak mengapa , itu juga normal. Tetapi, tidak baik pula bercakap dengan tujuan merendahkan-rendahkan. Kembara akan hilang nilainya. Hilang rohnya. Lost in spirit.

Baik…baik…deep pula.

Tips Kembara No 1

  • Persiapan sebelum memulakan perjalanan adalah imaginasi tentang perjalanan itu.
  • Senaraikan imaginasi dan rangkakan menjadi pelan rancangan. (Saya bayangkan dapat berjalan kaki ke Taj Mahal di Agra dan menginap di kawasan kedai ole-ole di New Delhi)
  • Cubalah! Ia menjadi asas pemilihan penginapan, pengangkutan dan bagaimana menikmatinya.

Tips Kembara No 2

  • Tempat menginap sebaiknya dalam kawasan mudah akses dengan berjalan kaki / auto / tren ke kedai makan, bazaar dan lokasi pelancongan. 
  • Jika kita menggunakan perkhidmatan tempahan melalui website, sanggupkan diri membaca ratusan review dan teliti peta kawasan hotel berada. Review lokasi membantu saya mendapatkan penginapan yang saya bayangkan. Turun motel saja sudah jumpa kedai souvenir. 

Tips Kembara No 3

  • Latih diri mudah menerima budaya, makanan dan keadaan sekitar.
  • Baca blog kembara orang lain ke tempat yang bakal kita lawati. Saya membaca blog Nadia Masood dan bertanya sendiri dengan beliau tentang tip-tip kembara ke India. 
Terbang (Kuala Lumpur – Bangalore)
19 Mac 2014  (Hari 1)
Saya bersama-sama suami dan seorang fotografer yang juga sahabat suami, Tuan Roshailan terbang ke Bangalore selama 6 jam. Perasaan gementar dalam penerbangan kerana ketika itu negara baru digemparkan dengan kehilangan pesawat MH370. 30,000 kaki atas Lautan Hindi, manusia adalah makhluk kerdil atas dunia dan kembara selalunya mengingatkan akan kekerdilan kita.
Alhamdulillah, adik Hanum sudah menunggu apabila kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangalore. Kawan-kawannya juga sedang menunggu ahli keluarga masing-masing yang menaiki pesawat yang sama.
Bermalam di Bangalore
20 Mac 2014 (Hari 2)

Oleh kerana kami tiba pada tengah malam, adik Hanum telah menempah bilik di Hotel Empire International – Church Street untuk kami berehat satu malam. Hotel ini 27.5 km daripada lapangan terbang. Kami tidak kisah dengan pilihan hotel oleh adik Hanum, pagi esok baru kami sedar mengapa hotel ini memang best.Awal pagi esoknya, saya ditanya oleh Hanum, “nak dosa?”

“Dosa tu apa?” Saya terkulat-kulat tak faham.”Dosa selalunya dimakan waktu sarapan. Sedap!” Hanum memberitahu dengan ceria.

“La…rupanya.”

Dosa itu Thosai. Barulah tahu.

Dan pagi itu baru sedar, hotel ini juga adalah Restoran Briyani Empire. Sarapan bagi adalah termasuk dengan pakej menginap. Kami ada pilihan sarapan sama ada western atau tempatan.

Saya memilih citarasa tempatan.

Terkagum-kagum dengan dosa yang enak. Mestilah. Ini negara asal-usulnya.

 

Di luar, jam 8 pagi sudah terang, jalan raya masih lengang. Penduduk juga belum berpusu-pusu keluar ke tempat kerja. Kedai hanya akan dibuka pada jam 10.00 ke 11.00 pagi.

 

Di India, nama Hotel juga ada digunakan untuk bisnes restoran tanpa menyediakan khidmat penginapan. Jadi, jangan terkejut apabila walk-in hotel untuk bermalam tetapi tak ada bilik langsung untuk ditempah. Ia cuma hotel yang jual makanan.

Tak tahu mengapa di sini restoran juga dinamakan hotel.

Sementara menunggu suami dan rakannya memburu street photo di awal pagi, saya membaca surat khabar tempatan. Kisah kehilangan MH370 dipaparkan di beberapa muka surat. Namun tak menjadi berita utama kerana demam Pilihanraya sedang melanda. Surat khabar penuh dengan segmen calon pilihanraya bersama maklumat harta kekayaan masing-masing.

Jika lihat di jalanan, kita tidak mudah perasan Pilihanraya Umum bakal berlangsung. Tiada bendera parti berpacak-pacak. Tiada poster bergantung-gantung.

Promosi calon parti dipasang di billboard dan iklan tv. Kelas sungguh. Unsur-unsur bollywood menyerap dalam kempen politik India.

Bangalore, Commercial Street Market

Adik Hanum membawa kami bersiar-siar di Kotaraya Bengaluru. Kami menaiki auto untuk ke Bangalore Commercial Street.


Bangalore Commercial Street penuh deretan kedai yang menjual pelbagai jenis barangan. Ia syurga membeli-belah dan syurga jurufoto merakam foto jalanan.

 

Kami paling ceria apabila nampak restoran KFC dan McDonald sebab perut dah lapar. Adik Hanum yang menjadi jurupandu memberitahu menu KFC boleh makan. Menu McDonald di India tak boleh makan. Kami faham. Move on.

Kami bertambah kuat semangat dan ceria setelah dapat menjamah vege zinger burger dan ayam panggang KFC. Paling ceria sang jurufoto yang kelaparan yang telah turun awal pagi memburu foto jalanan dan hanya bersarapan roti dan scrambled egg.

 

Kedai Acar (Pickle)

Pickle mangga. Bahan asasnya adalah buah mempelam dan rempah. Baunya boleh membayangkan campuran rasa pedas, masam dan masin.

Tidak! Saya tidak cuba rasa. Taku sakit perut.

Kedai Kain Sari, Commercial Street Market

Sari adalah cenderahati yang berbaloi dibeli.

Saya suka sari yang sesuai dibuat baju kurung atau kebaya. Adik Hanum membawa kami ke kedai keturunan India Muslim yang menjual kain sari yang dimaksudkan.

Bagi kedai ala butik, harga sari boleh mencecah ribuan ringgit. Ala-ala busana heroin bollywood dalam majlis award yang glamorous. 

Melawat Istana Sultan Tipu, Old Bangalore

Rakan jurufoto, Tuan Roshailan yang juga kaki kembara, membawa salinan buku lonely planet. Kami sepakat melawat tempat bersejarah dan tarikan pelancong di Bangalore iaitu Istana  Musim Panas Sultan Tipu.

Saya tak tipu. Memang namanya Tipu.

Untuk ke Istana Sultan Tipu, kami perlu menaiki auto kerana jaraknya 5.4 km daripada hotel.

Semasa mencari auto, perlu ada kemahiran tolak-menolak dan tawar-menawar dengan pemandu Auto. Mujurlah ada Adik Hanum dan inilah kali pertama saya mendengar Bahasa Kannada.

“Veda! Veda!” Hanum menolak desakan pemandu auto supaya pergi ke kedai-kedai yang dipromosikan mereka. Pemandu auto akan dapat komisen jika berjaya bawa kami ke kedai-kedai itu.

Sebab kami berdegil tidak mahu pergi ke kedai yang dipromosikan, kami kena membayar lebih sedikit. Kami menaiki dua auto yang berasingan. Suami saya bersama rakannya. Saya bersama adik Hanum. Pemandu auto kami saling bersaing dan bergurau dalam trafik yang sesak.Pak cik auto ini yang manis senyuman ini juga bertanya, mengapa Adik Hanum boleh bercakap bahasa tempatan. Sempat juga dia berbual kerana ingin tahu asal mana dan belajar di mana.

 

Senibina Istana Musim Panas Sultan Tipu
Lekuk-lekuk berwarna emas dan tiang-tiang tinggi. Lekuk-lekuk itu memantulkan cahaya ke dalam ruang istana yang gelap. Istana musim panas ini tidak mempunyai banyak bilik.  Bilik utama sudah dijadikan ruang pameran sejarah.

Sultan Tipu adalah Raja Kerajaan Mysore pada kurun ke-18.Istana ini dibina oleh Hyder Ali dan siap dibina semasa pemerintahan anaknya, iaitu Sultan Tipu. Sultan ini dikagumi kerana tentangannya terhadap British. Dengan kematian Sultan Tipu, peperangan itu dimenangi pihak British. Istana ini kemudiannya diambil alih oleh pihak British dan dijadikan pejabat pentadbiran. Kini, ia antara monumen sejarah yang diselenggara oleh Muzium dan dibuka kepada pelawat.

Hiasan siling dan dinding yang sudah pudar warna dan masih terserlah keindahannya.

Rakan jurufoto, Roshailan.

Apabila keluar daripada Istana Sultan Tipu, kami mencari auto untuk pulang ke hotel. Pemandu auto di hadapan pusat pelancongan itu berkeras mahu membawa kami ke kedai-kedai yang wajib disinggah kerana menaiki auto miliknya.

Kami malas melayan kedegilannya dan kami juga ikut sama degil, lalu berjalan kaki.

Di tepi-tepi jalan, saya menemui penjual sayur yang membawa sayuran dengan kereta sorong. Sayurnya segar-segar belaka. Rasa nak beli aje. 

“Sangka kau macam pergi Cameron Highland ke apa?” Saya memarahi diri sendiri kerana ada hati hendak membeli beet root yang segar tu.

Mujur tak buat perangai ala David Rocco dolce India yang bawa dapur sendiri dan masak atas meja penjual sayur.

Berjalan dan berjalan sehingga sampai di hadapan Minto Eye Hospital. Akhirnya dapat auto yang sanggup bawa kami berempat sehingga ke simpang yang hampir dengan MG Road. Pemandu ini mengecaj ikut bacaan meter dan hanya tahu geleng.

Dia tidak mahu menghantar kami terus sehingga ke hotel. Dari air muka dan lenggok geleng kepalanya, saya mengagak kerana kami berempat berhimpit dalam satu auto. Had penumpang 3 orang dan boleh di saman polis. Jangan main-main kerana birokrasi ke atas pelancong tidaklah kami tahu. Lebih elok tidak cari pasal.

Cabarannya…bagaimana mengenal geleng bermaksud ‘ya’ dan geleng ‘tidak’?

Lihat air muka dan mata!

Tips Kembara No 4

  • Kenalpasti kedai makanan halal atau vegetarian.
  • Bertanya dengan kenalan yang pernah kembara, membuat carian makanan halal di internet dan baca blog muslim yang pernah mengembara ke tempat yang sama. Blog Nadia Masood memperkenalkan Karim’s di New Delhi.

Tips Kembara No 5

  • Senaraikan tourist spot atau lokasi bersejarah yang berhampiran, pastikan lawat setidaknya-tidaknya dua tempat.
  • Jika masa terhad, pilih destinasi yang mempunyai nilai gambar yang tinggi.

Tips Kembara No 6

  • Peka dan tajamkan deria untuk meningkatkan tahap keselamatan diri. Pin memori bagi nama jalan dan bangunan.
  • Jika sesat, berhenti dan bertanya jalan. 
Jalan-jalan Cari Buku Terpakai di Bandar Bangalore

Seterusnya kami berjalan kaki ke Mahatma Ghandi Road (MG). Jalan besar 4 lorong itu berdekatan dengan Stesen Metro.

Pani Puri atau Puri saiz kecil boleh ditemui dijual ditepi MG Road. Kalau Andrew Zimmern memang selamba dia makan ni.

Penjual cermin mata ditepi MG Road. Orang muda mesti mau bergaya.

Kesibukan Kota Bangalore. Mereka bermula lambat di waktu pagi tetapi sibuk di waktu tengah hari dan petang.
Di antara gerai buku terpakai di MG Road. Satu buku dijual bermula daripada Rp70 atau RM4.
Kami masuk ke sebuah kedai buku terpakai di MG Road. Saya memilih judul Great Indians ini kerana ia menceritakan perjalanan kisah 20 tokoh utama dalam sejarah negara India. Bila hendak bacanya? Ah, jangan fikir bila sempat baca. Tak ada ruginya memiliki memoir atau biografi negarawan yang membentuk sejarah sesebuah negara.

Dalam perjalanan itu, Tuan Nazir Azhari merakamkan foto seorang wanita yang sedang mengikat sejambak ros merah yang cantik dan segar. Hanya sejambak dan ikatannya kemas. Wanita itu cepat saja berlalu selepas dapat mengemaskan ikatan jambak ros merah itu.

Hari semakin gelap dan kami memilih untuk makan di Restoran Indijoe Sizzlers. Restoran ni betul-betul di sebelah Hotel Empire.

Indijoe Sizzlers
6/3, Kalpak Arcade,Church Street,
Bengaluru, Karnataka

Grilled King Fish Steak, habuan setelah seharian berjalan.

Cerita satu hari di Kotaraya Bangalore. Fuh! Berpeluh.

Perjalanan Dari Bangalore ke Davangere
21 Mac 2014 (Hari 3)

Selepas makan tengah hari di Restoran Briyani Empire Hotel, kami pun bertolak menaiki kereta sewa menuju ke Davangere.6 jam yang dirasakan teramat lama.

Dan juga hon…hon…hon…kenapa mereka ini dengan hon?

Hon itu untuk memberitahu kenderaan hadapan, mereka akan memotong. Oleh itu, tak henti-henti pemandu kereta sewa membunyikan hon.

Sepanjang perjalanan, sebahagian besar pemandangan adalah tanah kosong dan bukit berbatu. Ada juga kawasan subur yang ditanam pokok pisang dan pinang.

 

Tiba di Davangere, hari sudah gelap dan perut berkeroncong.

Hari yang memenatkan dan mendatangkan lapar. Ini dia, menu makan malam di warung berhadapan asrama pelajar perempuan. Saya tidak ingat nama asli kedai ini. Tetapi pelajar Malaysia memanggilnya Kedai Cabang.

 

Mak Cik pemilik warung ini pemurah. Bukan saja dengan senyum, tetapi juga dengan capati. Apa taknya, habis saja capati dalam pinggan saya, tiba-tiba, dia hantar pula sepinggan capati manis. Percuma katanya.

Dia gembira ahli keluarga pelajar Malaysia datang makan di warungnya. Ahkak terharu!


Sambungan akan datang ~ Cerita di Davangere, Karnataka dan Majlis Graduasi JJCM Medical School.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s