About

Raikan dunia dengan cinta, kembara, makan dan buku hanya manifestasi kecil dari himpunan alam semesta fikiran.

Tentang alam otak manusia.

Saya jenuh mengikut cara otak milik saya bekerja. Arusnya kadangkala memacu dengan ceria dan kadangkala mengembara ke jurang kegelapan dunia.

Kadangkala dunia terbelah pelbagai dimensi. Satu dimensi saya gah umpama Wonder Woman dalam mencapai urusan pekerjaan, di satu dimensi daya hidup disedut masuk ke dalam lohon hitam, di suatu dimensi yang lain saya berbahagia di alam fantasi.

Kadangkala diri dihujani dengan ilham yang mengujakan, kadangkala kurniaan ilham yang telah digenggam di dalam tangan hilang seperti ais yang cair sesaat.

Kadangkala saya punya kehebatan menyusun jigsaw puzzle menyelesaikan masalah, kadangkala saya umpama Professor Charles Francis Xavier ketika mesin cerebro tidak berfungsi.

Adakalanya, semangat naga di dalam diri memuncak, mahu menjajah segalanya dengan penuh kehebatan. Adakalanya, semangat naga yang mengembari diri tersungkur. Kepenatan menelan segala tenaga yang tersisa. Semuanya melemaskan. Malah naga itu memusuhi dan melemparkan kata-kata nista.

Adakalanya, merasakan diri terasing dengan pemikiran berkabus dan sesat dalam perjalanan sehingga menerobos ke atas awan. Membina kubu-kubu tinggi menghalang sinar sang suria menyentuh atma yang disimpan dalam kebuk empat lapis unsur alam.

Jenuh. Lenguh. Longlai.

Tatkala sinar sang suria menyentuh dinding; dinding itu dipinjamkan kemegahan kilauannya. Lalu, mengapa meletakkan atma mu di atas tanah, wahai sang kerdil? Carilah dari mana hadirnya kilauan yang abadi itu.

Melalui bayang yang gelap, di situ dapat dicari arah sinar cahayanya.

Sunlight fell upon the wall; the wall received a borrowed splendor. Why set your heart on a piece of earth, O simple one? Seek out the source which shines forever. – Rumi

Kemudian saya menemukan jawapan, daripada Allah Yang Maha Memelihara. Di hari saya diberitahu tentang situasi struktur otak dan pre frontal cortex saya bekerja cara bukan tipikal, akhirnya saya berdamai dengan sang naga. Kami harus hidup harmoni dan bekerja bersama-sama.

Bukan perubahan diri, hanya yang kabur menjadi jelas. Bukan kesilapan langkah, hanya hikmah yang mengajarkan hidup.

Kemudian saya menemui manusia-manusia indah yang saya doakan tempatnya di syurga. Malaikat tanpa sayap yang memasang lampu – lampu kecil dan membantu saya membina anak-anak tangga ke gunung kefahaman untuk meneruskan hidup lebih bermakna.

Semangat naga itu jaga kembali. Kali ini dengan hati yang ceria secomel gadis dalam rangkulan ibu dan abah dengan penuh kasih.

Saya sedar, pelbagai alam dimensi yang saling bertelagah itu adalah alam semesta diri dan ia tetap ada di situ. Maka, saya harus mula. Bermula dari apa sahaja keadaannya. Bermula dari arah mana jua. 

Saya mula memahami rasa perlu untuk meraikan dunia, momen, perbezaan, hal kecil-kecil dan meraikan insan-insan yang mempunyai jiwa yang sentiasa resah.

Setiap acara hidup adalah untuk kembali ke kampung halaman yang abadi.

 “Wear gratitude like a cloak and it will feed every corner of your life.” – Rumi

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s